Begitu tinggi yang dimaksudkan juga bukan perkataan bombastik tetapi realiti. Pengimportan gandum pada tahun 2017 adalah pada tahap 1.7 juta tan metrik (MT) berbanding beras iaitu pada 1.15 juta tan metrik. Dari sini, jelas bahawa pengimportan gandum lebih banyak daripada beras.

Perkara ini diketengahkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre) atau UNI-MLC pada akhir Januari lalu. Badan ini telah membangkitkan isu berkaitan pengimportan bijirin gandum serta kebergantungan Negara kepada komoditi ini yang menjadi semakin penting kepada pengguna di Malaysia.

Mengapa pula hal ini dibangkitkan oleh kesatuan sekerja? Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menyatakan pihaknya mengetengahkan perkara ini kerana impaknya amat penting kepada ahli-ahli kesatuan terutama golongan pekerja serta seluruh rakyat Malaysia, secara amnya kumpulan B40 dan M40.

Menjelaskan lebih lanjut, melalui penyelidikan berterusan yang dijalankan, maklumat terkini yang diperoleh UNI-MLC menunjukkan penggunaan beras sebanyak 1.6 juta MT itu hanyalah jumlah penggunaan bekalan beras domestik dan tidak termasuk penggunaan bekalan beras yang diimport.

Penggunaan bekalan beras yang diimport adalah sebanyak 1.15 juta MT. Ini menjadikan penggunaan beras secara keseluruhannya sebanyak 2.75 juta MT.

Walaupun beras kekal sebagai makanan utama rakyat Malaysia, namun harus diambil perhatian bahawa trend peningkatan penggunaan gandum semakin meningkat berbanding beras.

Secara am, peningkatan penggunaan komoditi ini adalah sebanyak 60 peratus dari tahun 2008 ke 2017. Ini berbanding dengan peningkatan penggunaan beras pada tahap 10 peratus pada tempoh yang sama.

UNI-MLC menggariskan li­ma perkara berikut, memandangkan negara ini bergantung 100 peratus kepada gandum import:

1. Sebanyak 80 peratus bekalan gandum di Malaysia dikuasai oleh beberapa syarikat yang terhad. Persoalannya, adakah syarikat-syarikat ini kesemuanya syarikat asing atau dimiliki oleh syarikat asing?

2. UNI-MLC sedang membuat penyelidikan mendalam tentang perkara ini. Sekiranya pengimportan komoditi yang semakin penting ini terletak pada tangan syarikat asing, wajarkah keadaan ini berterusan dan patutkah syarikat-syarikat ini menerima subsidi kerajaan?

3. Kebergantungan sepenuhnya kepada situasi di mana pengimportan bijirin gandum dipegang oleh beberapa syarikat terhad, berkemungkinan mewujudkan senario kartel. Senario ini mengehadkan persaingan serta menjurus kepada situasi di mana harga dan bekalan komoditi dapat dimanipulasi dan dikawal oleh syarikat-syarikat terhad.

4. Memandangkan situasi sekarang, apakah akan berlaku sekiranya bekalan bijirin gandum ini terganggu atau terputus disebabkan apa-apa kejadian seperti bencana alam di negara-negara pengeksport atau tindakan tertentu yang diambil oleh syarikat-syarikat pengimport yang terhad ini. Senario in bakal menggugat bekalan gandum negara serta bakal memberi impak kenaikan harga. Seharusnya, negara ini memperkenalkan langkah stockpiling bijirin gandum bagi menjamin bekalan yang mencukupi bagi tahun-tahun akan datang.

5. Namun, langkah stock­piling ini hanya akan berjaya sekiranya pengimportan gandum dikendalikan oleh pihak yang mengutamakan kepentingan pengguna serta situasi keselamatan makanan negara tanpa terlibat dalam aktiviti perniagaan berunsur kartel. Persoalannya, wajarkah kawalan pengimportan gandum dialihkan dari tangan syarikat-syarikat terhad, kepada suatu entiti berpusat yang juga berperanan mewujudkan stockpiling bagi bijirin gandum.

Dari penyelidikan berterusan yang dijalankan oleh UNI-MLC, boleh disimpulkan bahawa bijirin gandum ini dikawal secara pukal oleh beberapa syarikat terhad. Kilang memproses gandum kepada tepung juga terletak pada tangan syarikat yang sama atau yang berkaitan.

Situasi ini menimbulkan persoalan-persoalan yang pen­ting seperti berikut:

1. Apakah proses kelulusan atau permit yang harus dilalui untuk sesebuah syarikat mengimport gandum atau bijirin lain ke Malaysia? Agensi manakah yang mengawal selia proses ini?

2. Adakah penentuan har­ga bagi komoditi ini terletak sepenuhnya di tangan pengimport-pengimport ini atau bergantung kepada harga pasaran dunia?

3. Adakah penurunan harga gandum dunia beberapa tahun kebelakangan ini membawa kepada penurunan harga gandum yang diimport?

4. Kenapakah penurunan harga gandum dunia tidak dicerminkan pada harga tepung di Malaysia yang masih mendapat subsidi kerajaan?

5. Penyelidikan UNI-MLC menunjukkan lebih ku­rang 60% gandum diimport dari Australia. Namun komoditi ini didapati turut diimport melalui Trading House berpusat di Singapura manakala gandum dihantar terus ke pengilang Malaysia. Invoisnya pula dihantar oleh pengeksport ke Trading House berkenaan yang kemudiannya akan memberi invois kepada pengilang Malaysia pada harga yang jauh lebih tinggi. Sekiranya betul, kenapakah proses pengimportan bijirin ini harus melalui Singapura? Adakah bijirin ini melalui proses tertentu di Singapura sebelum dibawa masuk ke Malaysia?

6. Persoalannya, adakah pro­ses pengimportan me­lalui Singapura ini menyebabkan kenaikan harga komoditi ini di Malaysia? Adakah Trading House di Singapura adalah syarikat yang berkait dengan pengilang di Malaysia?

7. Penyelidikan UNI-MLC juga mendapati bijirin jagung juga semakin tinggi permintaannya. Adakah pengimportannya turut dipegang oleh syarikat-syarikat yang sama?

Sehubungan ini, amat wajar bagi kerajaan mempertimbangkan satu proses kawalan ketat dalam pengimportan, bekalan serta penentuan harga gandum serta bijirin-bijirin lain di mana permintaan serta penggunaannya semakin meningkat di negara ini.

Tiba masanya kerajaan supaya prihatin terhadap situasi semasa, berkaitan gandum dan bijirin-bijirin lain dan menyarankan agar satu perancangan yang teliti dan komprehensif dijalankan segera untuk menangani cabaran-cabaran yang sedia ada.

Ini termasuk memastikan bekalan yang mencukupi melalui stockpiling tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada syarikat-syarikat asing.