Menurut beliau, pihaknya memberi jaminan bahawa perkara seperti itu tidak berlaku.

“Berhubung kenyataan Tunku Mahkota Johor di laman sosial Facebook bertajuk ‘My father and I being monitored,’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin memberi jaminan kepada Istana Johor bahawa perkara ini tidak berlaku.

“Saya akan memohon perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor untuk menghadap bagi memaklumkan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu dalam satu hantaran terbaharu di Facebook, Tunku Ismail berkata, beliau telah mendapat pesanan dari seorang pegawai kerajaan bahawa ramai wira siber telah diletakkan dalam Facebook rasmi beliau dan Sultan Ibrahim.

“Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang telah menyampaikan pesan bahawa saya dan ayahanda saya, DYMM Sultan Johor sedang diperhatikan.

“Ramai juga ‘cybertroopers’ diletakkan pada laman sosial JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan,” kata Tunku Ismail di dalam Facebook rasmi baginda.

Menurut Tunku Ismail, beliau baru-baru ini turut dihampiri oleh seorang individu untuk membeli peralatan teknologi Israel yang digunakan untuk pengintipan serta mengumpul data. Peralatan tersebut didakwa turut dimiliki kerajaan terdahulu yang masih digunakan kini.

Tegas Tunku Ismail, peralatan tersebut tidak sepatutnya diseleweng oleh mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri. - UTUSAN ONLINE