Nikah ekspres itu didakwa secara nyata telah dilakukan oleh ejen-ejen sindiket yang mengguna pakai nama peguam-peguam syarie bagi menipu atau mengaburi mata pelanggan-pelanggan mereka.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, tuduhan tersebut ba­gaimanapun perlu dikemukakan dengan bukti kukuh dan sekiranya berlaku, pengadu diminta tampil mengemukakan aduan rasmi kepada Jawatankuasa Disip­lin Peguam Syarie negeri-negeri yang terlibat.

MUSA AWANG
MUSA AWANG 

Pengadu juga perlu mengemukakan salinan aduan tersebut kepada PGSM supaya tindakan keras boleh diambil, katanya.

“Suatu tuduhan yang berat terhadap profesion guaman syarie di negara ini. Tuduhan atau dakwaan di media tanpa adua­n rasmi adalah suatu tindakan yang tidak yang boleh di­terima dan merendah-rendahkan integriti peguam syarie secara khususnya serta menjejaskan reputasi perundangan syariah secara umumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal me­ngenai kewujudan ‘orang tengah’ dalam nikah ekspres yang didalangi peguam syarie itu sendiri.

Menurut Noor Aziah, peguam syarie yang terlibat dikatakan boleh mengeluarkan sijil nikah ekspres kepada pasangan yang bernikah di luar negara menggunakan ‘pintu belakang’ bagi mengesahkan perkahwinan me­reka dan suami yang berpoligami tidak perlu membuat permohonan di mahkamah serta boleh memperoleh sijil nikah dengan hanya membayar RM5,000.

Tambah Musa, ada sesete­ngah sindiket nikah ekspres ini memetik dan menggunakan nama peguam syarie termasuk hakim syarie dalam iklan promosi mereka dan ini merupakan suatu penipuan yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib.

Katanya, PGSM telah beberapa kali mengusulkan kepada pihak berkenaan supaya tindakan tegas terhadap ejen-ejen dan syarikat-syarikat nikah ekspres ini, namun setakat ini jarang tindakan diambil.