Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery Cheek

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mereka akan berdepan dengan tindakan pembatalan lesen dan hukuman di bawah perundangan jika sabit kesalahan.

“Kita tidak boleh menerima bahawa ada nelayan yang sanggup menjadi tali barut dengan menjual hasil tangkapan kepada pihak asing untuk mengaut keuntungan yang lebih besar,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh untuk memastikan nelayan yang didapati bersalah akan dihukum mengikut lunas undang-undang.

“Undang - undang sudah ada di mana ikan yang ditangkap di negara kita mesti didaratkan di negara kita, dan bukannya di negara lain. Sekiranya berlaku ini adalah kerja - kerja orang yang tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya ada aduan dan ada bukti, kita akan ambil tindakan termasuk menggantung atau membatalkab lesen mereka serta merta.

“Ini merupakan satu syarat yang disediakan dan saya minta supaya Jabatan Perikanan untuk menggantung dulu lesen mereka sehingga kes ini selesai dibicarakan, “ katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama sebuah bot nelayan asing kerana disyaki melakukan aktiviti jual beli hasil laut negara pada 25 Januari lalu.

Sementara itu katanya, kerajaan akur dengan permintaan pengusaha bot tempatan yang mahu menggajikan pekerja asing disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja.

Menurut beliau, industri perikanan negara akan menjadi terjejas jika kerajaan mengharamkan pengambilan pekerja asing. - UTUSAN ONLINE