Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu merupakan pilihan ibu bapa namun menegaskan, kerajaan akan terus mengesyorkan perlindungan imunisasi kepada anak-anak daripada sebarang kemungkinan.

Ke arah itu kata beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan bagi membolehkan ramai lagi ibu bapa memberi vaksin kepada anak.

“Ini membolehkan ramai lagi ibu bapa memberi vaksin kepada anak mereka dan tidak melayan hujah ‘anekdotal’ yang mengaitkan pengambilan vaksin dengan penyakit seperti autisme.

“Vaksin itu hanya untuk mencegah penyakit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kad Kategori Orang Kurang Upaya (OKU) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), Putrajaya hari ini.

Dr. Wan Azizah sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan.

Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik semalam berkata, vaksin dan hak kepada pendidikan adalah isu berbeza.

Jelas Maszlee, kerajaan mengutamakan pendidikan kepada semua kanak-kanak dan tidak akan menutup pintu kepada sesiapa untuk mendapatkan akses pendidikan.

Dalam pada itu, ditanya berhubung kes kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, di Langkawi, Kedah yang dilaporkan semalam, Dr. Wan Azizah menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi.

Beliau memberitahu, berdasarkan laporan yang dibacanya, kanak-kanak itu mengalami sawan semasa dimandikan dan berkemungkinan penjaganya panik.

“Tapi ini tak boleh menjadi budaya. Terdapat permasalahan dalam masyarakat kita yang mana orang yang menjaga kanak-kanak meninggalkan begitu sahaja apabila menghadapi masalah atau panik,” katanya.

Mayat Nur Aisyah Aleya ditemukan dalam keadaan menyayat hati di Gunung Raya, Langkawi selepas dilaporkan hilang akhir bulan lalu.

Berhubung kad OKU yang diserahkannya hari ini, Dr. Wan Azizah berkata, kad baharu yang dikeluarkan mengikut subkategori OKU pembelajaran itu adalah untuk mengenal pasti golongan berkenaan serta kaedah rawatan dan pengurusan melibatkan mereka.

Ditanya sekiranya kerajaan berhasrat memperluaskan pelaksanaan kad berkenaan untuk sekolah-sekolah lain, beliau berkata, ia mengikut kemampuan. - UTUSAN ONLINE