SEREMBAN 28 Dis. – Kementerian Pendidikan mahu amalan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid dan sekolah kawalan dihentikan, manakala kaedah pengasingan rasmi seperti Ujian Kemasukan Tahun Satu juga perlu dimansuhkan sepenuhnya bermula 2019.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, amalan berkenaan bukan dasar pendidikan namun dilakukan pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS).
“Sebelum ini, GPS dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) namun selaras Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dilaksanakan tahun ini, sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana kita mahu murid dididik secara holistik dan tidak mementingkan pencapaian akademik semata-mata.
“Justeru tiada lagi keperluan untuk sekolah mengasingkan murid mengikut tahap akademik sebaliknya menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu,” katanya.
Sambil tidak menolak sehingga kini masih ada sekolah mengamalkan pengasingan kelas, namun seiring perubahan katanya, amalan berkenaan perlu dihentikan menjelang sesi persekolahan 2019 seiring pelaksanaan PPSR.
Beliau turut meminta Jabatan Pelajaran Negeri yang mewujudkan sekolah kawalan menerusi pemilihan murid berdasarkan pencapaian sukan, akademik dan disiplin turut dihentikan segera kerana tidak termaktub dalam dasar pendidikan negara.
Katanya, kementerian tidak menggalakkan amalan tersebut kerana menyebabkan ada murid terpaksa ke sekolah yang lebih jauh kerana tidak diterima di sekolah berhampiran kawasan perumahan mereka.
“Kementerian Pendidikan juga tidak bercadang mengeluarkan pekeliling berhubung semua amalan lama berkenaan, namun berharap pentadbir sekolah memahami perubahan yang sedang dilaksanakan kementerian dan menerapkan amalan yang seiring dasar pendidikan negara,” ujarnya.