Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pihak kerajaan negeri tidak sesekali me­ngizinkan perbuatan khurafat di kawasan itu dan kali ini ingin menghapuskan segala aktiviti khurafat serta mengembalikan Pulau Besar ke imej asalnya.

“Kerajaan negeri akan meng­gunakan segala kuasa di ba­wah bidang kuasanya untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar peraturan dan tidak akan mengizinkan kegiatan khurafat berlangsung di kawasan ini. Saya juga akan meletakkan pegawai bertugas 24 jam di kawasan ini.

“Jika berlaku pemujaan, kita akan meng­anggapnya sebagai satu perbuatan khurafat dan akan terus mengambil tindakan tegas de­ngan merobohkan struktur yang dibangunkan tanpa kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam lawatan kerja ke Pulau Besar di sini hari ini ekoran pendedahan Laporan Khas Sabtu pada 15 April lalu yang mendapati kegiatan khurafat masih berte­rusan, sekali gus mencalarkan imej kawasan tersebut.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) me­nyatakan mereka sentiasa bersikap tegas dalam memastikan tindakan pihak tertentu menjalankan ajaran khurafat di Pulau Besar dapat ditangani.

Menurut Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Hussin, struktur haram yang dibangunkan dengan tujuan menjadikan ia sebagai satu tempat aktiviti pemujaan bakal dirobohkan serta pengusahanya akan didenda.

Yang turut serta dalam lawatan itu, bekas Ketua Menteri Me­laka, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.