Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan akan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu untuk jangka masa panjang.

“Kita tidak berminat dengan insentif selalu sangat tetapi kita nak cari jalan supaya kita dapat selesaikan masalah ini. Kalau kita tumpukan budaya insentif, bila diterang cara-cara boleh dapat untung yang lebih, mereka akan tanya ada insentif tak? Jadi kalau ada untung lebih kena bagi insentif juga.

“Budaya ini dipupuk oleh kerajaan terdahulu dan kita tidak berminat. Kita mahu rak­yat bekerja untuk mereka mendapatkan hasil,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pimpinan Pakatan Harapan Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Senator Datuk Husam Musa; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nasib golongan tersebut khususnya di pantai timur yang terjejas teruk akibat musim Monsun Timur Laut.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depan baru-baru ini menyiarkan keluhan golongan tersebut yang kehidupan mereka semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin me­ningkat, harga komoditi menurun dan musim tengkujuh yang melanda.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, tiada peranan khusus akan diberikan kepada Mustapa yang menyertai Bersatu baru-baru ini.

“Dia minta menyertai Bersatu dan kita dapati dia layak untuk diterima sebagai ahli parti.

“Tiada peranan khusus untuk Tok Pa, sebenarnya pe­mimpin UMNO masuk Bersatu tidak boleh pegang jawatan tinggi untuk tempoh tertentu yang kita akan dipertimbangkan kemudian,” katanya.