Beliau berkata, cadangan yang bakal dibuat adalah menambah keluasan saiz rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 900 kaki persegi daripada 600 kaki persegi sebelum ini.

“Saya tidak mahu rumah PPR dan rumah untuk B40 ini konsep duduk di rumah ibarat sangkar burung... kecil, jadi saya cadangkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) nanti rumah yang selesa dengan rumah yang disediakan lebih besar sikit,” katanya dalam temu bual de­ngan Bernama.

Kumpulan B40 terdiri da­ripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus te­rendah dengan memperoleh RM3,000 bulanan ke bawah.

“Bilik, ruang tamu dan ko­ridor mestilah selesa. Kemudahan yang lengkap se­perti tempat riadah, surau, dewan, perpustakaan, semua ini kena lengkap untuk mereka supaya ada ruang untuk berekreasi dan rehatkan minda dalam kelompok sendiri tanpa perlu pergi jauh.

“Kita mahu mereka rasa selesa dengan persekitaran mereka dan komuniti akan sentiasa berkomunikasi dalam kelompok sendiri,” katanya.

Zuraida berkata, Dasar Ko­muniti Negara yang akan menjadi rujukan dalam menyelesaikan isu pembangunan komuniti setempat.

“Dasar Komuniti Negara ini akan menggariskan panduan, pelan tindakan dan menyenaraikan program-program yang perlu dilaksanakan oleh jabatan dan agensi terlibat dalam usaha membudayakan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, dasar ini penting untuk membina sebuah negara maju, yang berdasarkan mentaliti rakyat, cara mereka menguruskan hidup dan persekitaran yang akan melambangkan sesebuah negara itu progresif dan matang.

Langkah yang digariskan dalam dasar itu akan dilaksanakan bermula di kawasan perumahan di bawah seliaan KPKT dan diikuti oleh sektor dan agensi lain, katanya. – BERNAMA