Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai penyakit bawaan air atau daripada makanan di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau berkata, faktor banjir yang bersifat sementara, bekalan air bersih mencukupi dan kedudukan mangsa yang tidak berselerak sebagaimana banjir besar pada 2014 menyumbang kepada tahap kesihatan mangsa banjir yang lebih baik.

“Sebelum musim tengkujuh kami turun ke setiap PPS untuk memeriksa keadaan tandas, bekalan air dan kawalan serangga. Jika perlu, semburan kabus dilakukan bagi memastikan semua PPS bebas daripada sebarang wabak.

“Selain itu, kita juga menasihatkan pengendalian makanan di PPS dilakukan dengan baik bagi mengelak keracunan makanan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Program Kolaborasi Promosi Kesihatan Pergigian Dengan Badan Agama ‘Raudhah Kesihatan Pergigian’ Peringkat negeri di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr. Nik Mohd. Azlan Abd Hadi. - UTUSAN ONLINE