Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan malah melihat tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan subjek baharu itu kerana apa yang penting kurikulum pendidikan sudah pun mempunyai subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Jelas beliau, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah pun memasukkan elemen mengenali dan menghormati agama lain yang bukan bersifat doktrinisasi dan penyebaran agama.

"Perkara itu bertepatan dengan apa telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama lain kepada penganut Islam.

"Selain itu, iGuru juga berpandangan subjek Pendidikan Islam boleh menerapkan intipati konsep fiqh ayush iaitu kebersamaan atau bergaul dengan komuniti bukan Islam menurut al-Quran dan as-sunnah terutama di peringkat menengah atas" katanya dalam kenyataan di sini hari ini. &

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha selepas menghadiri bengkel perbincangan meja bulat belia mengenai hal ehwal antara penganut agama, semalam dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan satu subjek khusus untuk mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Pengenalan subjek baharu itu adalah untuk meningkatkan pemahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama dalam negara. - UTUSAN ONLINE