Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tidak tahu atas dasar apa khabar angin melibatkan pilihan raya mengejut atau snap election itu boleh bertiup sedangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini masih dalam ‘keadaan pemulihan’.

“Insya-Allah kita lihat peningkatan prestasi menteri-menteri Kabinet makin hari makin bertambah baik dan banyak perkara baharu telah diperkenalkan dan kita sedang bergerak ke depan.

“Kita lihat kerajaan kita ada ini dalam fasa kemajuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Ramadan 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Semalam, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, UMNO perlu mula bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU-15 secara mengejut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, persediaan tersebut termasuklah berhubung pengagihan kerusi untuk ditandingi yang perlu dibincangkan bersama rakan parti pembangkang iaitu, Pas serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Sementara itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara berseloroh berkata, beliau merasakan bahawa Tengku Razaleigh sendiri yang terkejut.

Namun begitu, beliau menambah, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li mempunyai pandangan sendiri dan bebas memberi pandangan.

Ditanya sama ada kenyataan Ku Li itu boleh dikaitkan dengan kebimbangan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti sebaliknya dikatakan bakal melantik pemimpin lain, beliau berkata:

“Saya tidak reti baca yang tersirat. (Isu jawatan) Perdana Menteri ini kita biar Perdana Menteri kini untuk memimpin ke arah siapa akan menjadi Perdana Menteri pada masa depan.

“Kalau sebelum PRU-15. Kita biarkan kepada Dr. Mahathir untuk membuat perancangan dan keputusan. Sudah tentu beliau juga mengatakan keputusan itu bukan keputusannya sendiri dan ia tertakluk kepada input-input pihak terlibat jadi kita lihat bagaimana,” katanya.

Ditanya lagi sama ada beliau sebagai Naib Presiden PKR tidak mengetahui terdapat pemimpin yang tidak menyukai Anwar untuk menggantikan Dr. Mahathir, Zuraida berkata, dahulu Dr. Mahathir tidak disukai namun kini menjadi Perdana Menteri Ketujuh.

“Jadi tiada yang mustahil sebenarnya. Itu situasinya. Jadi kita tunggulah,” katanya. - UTUSAN ONLINE