Dzulkifli Ahmad

Berikut pandangan beliau yang dilontarkan dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia:

Pada 25 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Paul Low membuat kenyataan bahawa Bahagian Integriti dan Tadbir Urus akan dinaik taraf menjadi sebuah jabatan dan dikenali sebagai Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) dengan diberikan belanjawan dan kakitangan tambahan sendiri.

Dikatakan JITN akan menjadi agensi yang akan memberi fokus kepada mengkoordinasi perubahan di sektor awam dan swasta berkaitan isu tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia. Saya memandang serius perkara ini dan mempunyai pendirian tegas dan jelas bahawa tiada keperluan untuk diwujudkan sebuah jabatan baru yang hanya akan mengakibatkan pembaziran kewangan yang nyata. Apatah lagi apabila dihalusi didapati ja­batan baharu ini juga turut mempunyai kemungkinan pertindihan fungsi dan tugas dengan agensi sedia ada se­perti SPRM mahu pun agensi lain se­perti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Daripada sudut fungsi SPRM saya ingin merujuk kepada seksyen 7 (c), (d) dan (e) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang menyatakan:

Pegawai-pegawai Suruhanjaya mempunyai fungsi berikut:

(c) Meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-badan awam untuk memudahkan penemuan kesalahan di bawah akta ini dan menghasilkan kajian semula amalan, sistem atau tatacara itu yang pada pendapat Ketua Pesuruhjaya mungkin membawa kepada rasuah;

(d) Mengarahkan, menasihati dan membantu mana-mana orang, atas permin­taan orang itu, tentang cara-cara bagaimana rasuah dapat dihapuskan oleh orang itu;

(e) Menasihati ke­­­tua badan-badan awam tentang apa-apa perubahan dalam amalan, sistem atau tatacara sesuai dengan penunaian berkesan kewajipan-kewajipan badan-badan awam itu sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Ketua Pesuruhjaya un­tuk mengurangkan kemungkinan ber­­lakunya rasuah;

Oleh itu fungsi SPRM di bawah Akta 694 amat jelas dari sudut pencegahan dan pemantauannya di dalam tadbir urus badan awam dan telah berfungsi dengan begitu baik sekali. Pada 25 Julai lalu, Perdana Menteri ketika ucaptama di perasmian Invest Malaysia Kuala Lumpur, telah turut mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada SPRM.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan secara dasarnya bersetuju menubuhkan Unit Integriti dan Tadbir Urus di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), negeri dan entiti perniagaan milik kementerian. Pengiktirafan ini kerana unit integriti sedia ada di badan-badan awam di bawah pengawasan SPRM itu, telah melaksanakan tugas dengan begitu baik serta kewujudannya diyakini dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing dan komuniti perniagaan terhadap Malaysia.

Oleh itu saya berpendapat, tiada keperluan untuk diteruskan penubuhan JITN sebagaimana yang dinyatakan oleh Paul. Saya kira adalah lebih baik dan bermanfaat jika fokus diberikan kepada usaha menambah bilangan keanggotaan SPRM yang me­ngalami jumlah kekurangan yang serius kerana pada ketika ini SPRM hanya mempunyai 2,100 orang keanggotaan. Sedangkan pada 2012 kerajaan telah bersetuju menambah 150 kakitangan setiap tahun sehingga keanggotaannya mencecah 5,000, namun tidak dapat dilakukan kerana kekurangan peruntukan.

Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan pandangan yang diberikan dan saya yakin kepemimpinan kerajaan akan membuat keputusan terbaik setelah membuat penilaian isu ini secara keseluruhannya.