ZAMBRI MOHD. ISA

Perkara itu ditegaskan Keilmuan Nasional yang melihat tindakan itu bukan sahaja membelakangi Dasar Pendidikan Kebangsaan malah statistik terdahulu juga menunjukkan tidak ramai lepasan UEC yang memohon.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Zambri Mohd. Isa menggesa kerajaan supaya menghentikan pengambilan lepasan UEC bagi mengikuti program tersebut.

“Tindakan Kementerian Pendidikan membuka peluang kepada pelajar lepasan UEC bagi program PISMP ini jelas membelakangi Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memberi pengiktirafan secara tidak langsung kepada peperiksaan UEC.

“Walaupun tindakan pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini sekadar meneruskan program kerajaan terdahulu yang memberi ruang kepada lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP bagi pengkhususan guru Bahasa Cina sejak 2010, ia hanya merupakan satu program ‘on-off’ (tidak berkala) dan tidak dijadikan dasar tetap kerajaan,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini dikecam warganet selepas mengiklankan tawaran melanjutkan pengajian PISMP kepada lepasan UEC.

Walau bagaimanapun, melalui satu ciapan balasnya kepada seorang warganet di Twitter, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menjelaskan perkara tersebut bukanlah baharu kerana telah diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2010 lagi.

Mengulas lanjut, Zambri turut membangkitkan isu pembaziran kerana kerajaan perlu mengadakan tempoh persediaan kepada lepasan UEC untuk mengambil kurusus Bahasa Melayu, Sejarah dan beberapa subjek lain.

“Ia disifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat berbanding mengambil terus pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) yang sudah sedia mengikuti kurikulum kebangsaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE