Maximus Ongkili

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, dana tersebut akan menampung pe­ningkatan kos selama enam bulan, justeru tiada sebarang kenaikan tarif elektrik akan dikenakan terhadap pengguna sehingga hujung tahun ini bermula bulan Julai.

Beliau berkata, ini kerana rebat tarif elektrik dikekalkan seba­nyak 1.52 sen bagi setiap kilowatt-sejam (kWj) di Semenanjung serta sebanyak 1.20 sen/kWj di Sabah dan Labuan.

“Dalam mesyuarat itu, Jemaah Menteri bersetuju membelanjakan sebanyak RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada pengguna di Semenanjung manakala RM468 juta subsidi khas bagi Sabah serta Labuan.

“Peruntukan RM1.303 bilion ini menggunakan Dana Hasil Run­dingan Semula Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Penjana Kuasa Bebas Generasi Pertama (Dana Penjimatan PPA),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Maximus, peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 2.4 pera­tus daripada yang telah dipersetujui dalam tarif asas sepanjang Januari hingga Jun 2017.

Katanya, peningkatan kos pembekalan elektrik berlaku dise­babkan oleh kenaikan harga gas, arang batu serta kesan kadar tukaran wang asing.

Beliau berkata, menerusi keputusan itu, Jemaah Menteri bersetuju memberi rebat keseluruhan kos pembekalan elektrik sebanyak 2.54 sen/kWj di Semenanjung merangkumi surcaj bahan api sebanyak 1.02 sen/kWj dan rebat tarif seba­nyak 1.52 sen/kWj ditampung menggunakan Dana Penjimatan PPA.

“Bagi kadar tarif asas di Semenanjung dikekalkan 38.53 sen/kWj manakala Sabah dan Labuan pada 34.52 sen/kWj.

“Secara keseluruhannya, pe­larasan tarif elektrik di bawah dasar kos bahan api dan penjanaan tidak seimbang (ICPT) membolehkan pengguna elektrik menikmati rebat sebanyak RM5.403 bilion di Semenanjung manakala RM196.26 juta bagi Sabah dan Labuan untuk tempoh Mac 2015 hingga Disember tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Maximus berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi kementeriannya optimis untuk mengurangkan kadar gangguan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan.

“Untuk itu, kita menubuhkan satu makmal khas bagi mengkaji masalah sekali gus mencari penyelesaian berhubung isu gangguan tersebut dalam waktu terdekat,” katanya.