Jaminan itu disuarakan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang turut menyatakan bahawa pemberian air percuma juga akan diteruskan walaupun kerajaan negeri terpaksa berhadapan dengan peningkatan kos.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM180 juta setahun untuk program air percuma berbanding RM70 juta ketika awal pelaksa­naannya pada tahun 2008.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang tiada kenaikan tarif air, tetapi kita akan lihat daripada pelbagai aspek dan bertindak mengikut kemampuan kerajaan.

“Walaupun kos sekarang me­ningkat, tetapi kita (Kerajaan negeri) tetap meneruskan program air percuma ini, malah kita masih mampu melaksanakan program lain seperti skim Peduli Rakyat dan KISS (Kasih Ibu Smart Selangor),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Negeri Selangor 2018, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Pada majlis itu, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mengagihkan kira-kira 1,200 ekor lembu korban kepada surau, masjid, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah agama dan asnaf di seluruh Selangor ini.

Sementara itu, ketika ditanya dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyatakan bahawa pengambilalihan Splash 10 kali ganda lebih tinggi daripada harga asal, Amirudin berkata, harga itu adalah relevan berdasarkan penilaian yang dibuat oleh penilai bebas yang dilantik oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Kita faham kronologinya, pada awalnya Tan Sri Khalid menawarkan harga yang lebih tinggi, selepas itu dia membuat U-turn pada saat akhir dan menawarkan harga RM250 juta.

“Penangguhan pengambilalihan air di negeri ini selama lebih 10 tahun juga disebabkan tawaran yang kurang munasabah sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan dakwaan blogger, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa PKR mendapat RM500 juta melalui pengambilalihan itu, Amirudin menganggapnya sebagai tuduhan palsu dan tidak mempunyai bukti.

“Saya pasti di peringkat saya (kerajaan negeri), kita buat dengan cukup. Perkara ini sudah dibincangkan setahun lebih awal sebelum saya dilantik Menteri Besar,” jelasnya.