Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat kerana langkah menaikkan kadar tol pada waktu ini tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

"Kenaikan itu tidak kena (pada masanya) sebab kita pada waktu ini berusaha membantu rakyat. Kenaikan itu nampaknya menimbulkan tentangan, ramai yang tidak setuju dan kerana itu Kabinet buat keputusan tersebut.

"Kita sedang merancang untuk membantu rakyat melalui pakej rangsangan ekonomi atau mini bajet itu, kenaikan tol ini tidak secocok dengan keadaan,'' tegasnya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa penangguhan kadar baru tol itu dibuat dalam usaha kerajaan menarik sokongan rakyat menjelang pilihan raya kecil berkenaan.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah akan diadakan serentak pada 7 April ini manakala bagi kerusi DUN Batang Ai, Sarawak, tarikhnya belum ditetapkan.

Abdullah semalam mengarahkan kenaikan tol berkenaan dikaji semula kerana sekarang bukannya masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Katanya, kenaikan tol yang diumumkan semalam adalah hasil kajian sewaktu keadaan ekonomi Malaysia "tidak seberat" ketika ini.

Menurut beliau, berdasarkan keadaan ekonomi sekarang, adalah paling wajar untuk cadangan itu dibincangkan semula agar tidak terus membebankan rakyat.

"Jadi nampaknya kerajaan kena ambil alih bebanan yang (bernilai) hampir setengah bilion (RM500 juta) itu.

"Saya harap rakyat akan menghargainya. Dalam keadaan macam ini pun kerajaan yang kena terima beban itu,'' tegas beliau.

Abdullah berkata, soal konsesi tol bukan perkara kecil. Ia menelan belanja yang tinggi terutama dalam keadaan kerajaan perlu menumpukan kepada banyak perkara lain.

"Kita nak belanja banyak dan untuk yang ini (serap beban tol) lagi. Itulah yang amat memberatkan kerajaan sebenarnya.

"Jadi itulah, kita kena sama-sama memahami. Kalau kita kena berkorban, sama-samalah kita, jangan harap hendak senang sahaja,'' tegasnya. - UTUSAN