Walau bagaimanapun, beliau berkata, suruhanjaya itu bersama pihak berkuasa akan terus memantau laman-laman sosial di negara ini dan tidak teragak-agak untuk bertindak dalam usaha menangani isu-isu menggugat ketenteraman awam seperti melibatkan agama, kaum, agama dan raja yang berlaku ketika ini.

“Ini soal serius, kita hidup dalam lingkungan undang-undang jadi kita ikut peruntukan undang-undang. Ia tidak membolehkan kami untuk menutup platform ini.

“Walau bagaimanapun, jika situasi ini berleluasa, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk bertindak dalam menghentikan isu-isu melibatkan kaum, agama dan raja yang wujud ketika ini. Kita akan bertindak dalam lingkungan undang-undang bersama pihak polis seperti sebelum-sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Jawatankuasa Jenayah Siber Polis Diraja Malaysia (PDRM)-SKMM di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung sama ada pihak SKMM bercadang untuk menutup sementara laman Facebook dalam usaha menyekat penularan video kejadian tembakan di Christchurch, New Zealand baru-baru ini.

Sebelum ini, SKMM dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya itu akan menutup akaun media sosial yang melanggar terma perkhidmatan berhubung penularan video penstriman serangan berkenaan.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor.

Jawatankuasa bersepadu yang ditubuhkan hari ini itu akan menerajui gerak kerja dan tindakan dalam usaha memerangi ancaman jenayah siber.

Sementara itu, ditanya berhubung cadangan agar SKMM mengawal permainan video berunsur perang, Al-Ishsal berkata, suruhanjaya itu tidak akan menyekat permainan seumpama itu selagi kandungannya tidak melanggar peruntukan undang-undang.

Sebaliknya, beliau menambah, jika permainan itu melanggar undang-undang, SKMM berupaya mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, kadar kerugian akibat jenayah siber telah mencatatkan peningkatan iaitu dari RM266 juta pada 2017 kepada RM398 juta pada tahun lalu dengan kes tertinggi adalah melibatkan Macau scam.

“Bagi bulan Januari, Februari dan Mac tahun ini, jumlah kerugian mencatatkan sebanyak RM64 juta. Kadar kerugian tahun ini kita ramalkan lebih tinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE