Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, disebabkan itu beliau sukar untuk memahami mengapa orang bukan Islam menentang RUU 355 sedangkan tidak ada alasan kukuh untuk mereka bersikap sedemikian.

Menurut beliau, pindaan rang undang-undang itu hanya melibatkan umat Islam dan tidak membabitkan langsung orang bukan Islam di negara ini.

“RUU 355 adalah usaha orang Islam untuk memperkasakan mah­kamah syariah yang hanya mempunyai bidang kuasa terhadap umat Islam. Saya tidak faham mengapa rakan bukan Islam tidak gembira dalam hal ini,” ujar beliau dalam nada sebak ketika menyampaikan syarahan Islam Sebagai Undang-undang Negara di sini hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, umat Islam tidak meminta kepada ke­sa­marataan seperti dinyatakan oleh Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang mendakwa bahawa RUU 355 itu bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berhubung kesamarataan warganegaranya.

“Sedangkan orang Islam gembira apabila hukuman Islam dilaksanakan ke atas mereka, mengapa bukan Islam pula yang memperjuangkan kesamarataan dalam hal ini? Orang Islam tidak menuntut kesaksamaan dalam hal ini,” kata Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun lalu itu.

Berhubung pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Pence­raian) 1976 (Akta 164), Ahmad Fairuz berkata, pihak peguam atau orang Islam yang tidak berpuas hati dengan pindaan itu, boleh membawa perkara ber­ke­naan ke mahkamah untuk dicabar.

“Biar mahkamah tentukan sa­ma ada pindaan itu bertentangan dengan al-Quran dan sunah atau dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan keputusan untuk meminda Akta 164 yang merupakan undang-undang keluarga bagi per­kahwinan dan perceraian pasangan bukan Islam sebagai penyelesaian berhubung pertikaian yang wujud selepas seorang daripada mereka memeluk Islam.