Ketua Polis Daerah Langkawi, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kapal layar mewah itu tiba di sini pada pukul 10.30 pagi dari Pelabuhan Klang, Selangor.

Katanya, kapal tersebut akan ditempatkan di pangkalan berkenaan dan diletakkan di bawah kawalan TLDM atas faktor-faktor keselamatan.

“Kapal berkenaan belayar dari Pelabuhan Klang selamat tiba di perairan Langkawi pada pukul 10.30 pagi,” katanya di sini hari ini.

Katanya, The Equanimity berlepas dari jeti Pelabuhan Klang dengan diiringi oleh Botronda PA 45 dan Botronda PSC 18 bersama satu kapal perang TLDM KD Teguh yang mengambil masa perjalanan lebih kurang dua hari untuk sampai ke Pangkalan TLDM Langkawi.

“Semasa dalam perjalanan ke Langkawi penugasan eskot berjalan dengan lancar seperti mana yang dirancang tanpa berlakunya perkara yang tidak diingini,” katanya.

Pada Ogos lepas, kerajaan memutuskan bahawa The Equanimity yang didakwa dibeli menggunakan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijual sekiranya tiada mana-mana pihak mempertikaikan mengenai pemilikan kapal itu.

Proses membida The Equanimity bermula 29 Oktober lepas dan berakhir 28 November ini.

Kapal mewah berkenaan ditempatkan di Port Klang sejak Ogos lalu.

Dalam pada itu kehadiran kapal layar berkenaan di perairan Langkawi mengujakan penduduk pulau peranginan berkenaan yang turut berkongsi status di media sosial.