PUTRAJAYA,17 Februari 2016Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, setakat ini, sebanyak 67 bakal haji bermasalah visa dan 15 ahli keluarga mereka masih berada di negara ini, menjadikan jumlah yang masih belum berlepas ke tanah suci sebanyak 82 orang.

“Berikutan isu ini, Tabung Haji telah mendapat komitmen dan bantuan yang amat baik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di sini. Tabung Haji yakin dapat menerbangkan semua jemaah haji terpilih bagi musim ini menjelang atau sebelum berakhirnya tempoh penerbangan ke tanah suci pada 26 Ogos nanti,” katanya ketika menjawab soalan Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut beliau, proses kelulusan visa adalah secara dalam talian sepenuhnya dan perlu melalui tiga saluran kelulusan utama secara berperingkat iaitu sistem e-Hajj, Muassasah dan Kementerian Luar Arab Saudi yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Arab Saudi.

Jamil Khir memberitahu, setelah mendapat kelulusan secara dalam talian, pasport bakal haji dihantar ke Kedutaan Besar Arab Saudi di sini bagi proses imbasan dan pengeluaran visa.

“Peningkatan jumlah jemaah haji yang lebih ramai bukan sahaja dari Malaysia bahkan dari seluruh dunia pada tahun ini dan mereka juga menggunakan sistem dalam talian yang sama, jadi ia telah menyebabkan sedikit masalah pemprosesan visa,” katanya.

Tambah beliau, bagi menangani isu tersebut, Tabung Haji telah mengambil langkah-langkah segera antaranya memastikan kebajikan diberi keutamaan.

“Tabung Haji juga telah menyediakan penginapan serta makan dan minum di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya dan hotel-hotel berdekatan bagi mereka yang memerlukan di mana kos berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji. Pusat maklumat bakal haji bermasalah visa diwujudkan bagi menyalurkan informasi terkini kepada para jemaah yang terlibat di Bilik Seri Setia, Tingkat 1, Kompleks Haji, Kelana Jaya yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Selain itu, Jamil Khir berkata, Tabung Haji juga telah mening­katkan kapasiti pesawat daripada muatan 278 orang menggunakan pesawat Boeing 777 kepada Airbus 330 dengan muatan 420 orang untuk memboleh­kan bakal haji bermasalah visa serta keluarga mereka berlepas ke tanah suci secara berperingkat.