Asyraf Wajdi Dusuki

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (gambar)berkata, pihaknya dan pe­ngu­rusan Ta­bung Haji akan melakukan yang terbaik bagi menangani masalah tersebut tetapi menegaskan ia bukan salah Tabung Haji, sebaliknya faktor di Arab Saudi itu sendiri.

Katanya, jika sebelum ini, Tabung Haji turut terlibat ketika pemprosesan visa di Arab Saudi, tetapi bermula tahun ini, Kementerian Luar negara itu tidak membenarkan perkara itu kerana terdapat ancaman keselamatan yang memerlukan negara berkenaan menge­tatkan prosedurnya.

“Ini yang menyebabkan timbul masalah di mana terdapat sebahagian kecil jemaah meskipun sudah diselesaikan visa dan kuotanya di sini tetapi senarai tersebut tidak selari dengan sistem di Arab Saudi. Sebelum ini perkara sebegini tidak berlaku kerana Tabung Haji dilibatkan sekali di sana.

“Tetapi atas dasar keprihatinan, kita sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Arab Saudi dan saya yakin ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat kera­na kita tidak mahu perkara ini berlarutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ini difahamkan terdapat seramai 250 jemaah haji yang terpaksa ditempatkan sementara di Hotel Grand Blue Wave di sini, sehingga isu visa mereka dapat diselesaikan dan dipercayai jumlah tersebut akan bertambah ekoran masalah serupa.

Dalam pada itu, Asyraf Waj­di yang turun padang mene­mui sendiri jemaah tersebut semalam berkata, Tabung Haji juga akan meningkatkan jadual penerbangan dan menggunakan pesawat lebih besar untuk membolehkan para jemaah terbabit terus diterbangkan ke Jeddah sebaik sahaja masalah visa mereka selesai.

“Masalah yang timbul ini di luar kawalan kita tetapi apa yang penting ialah bagaimana kita perlu bertindak untuk menyelesaikan masalah ini, segala langkah yang telah dan sedang diambil pihak Tabung Haji, membuktikan betapa kita prihatin dan mahu proses ibadat ini disegerakan,” katanya.