Mohd. Yusof Abdul Rahman

Timbalan Pre­siden Gabungan Persatuan-Persa­tuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, sebagai contoh, langkah Kementerian Perdaga­ng­an Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan pada tahun lalu berjaya menge­lakkan kenaikan harga barangan tertentu.

Bagaimanapun katanya, skim serupa tidak dilaksanakan pada Ramadan tahun ini dan diharapkan dapat diperkenalkan menjelang Aidilfitri kerana ia berkesan dalam mencegah pengambilan untung berlebihan oleh peniaga.

“Tahun lalu skim ini berkuat kuasa lima hari sebelum Rama­dan dan lima hari semasa Ramadan yang mana peniaga diwajibkan menjual barangan kawalan tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain.

“Masih belum terlambat sekiranya skim sebegini diteruskan menjelang Syawal ini, pemantauan perlu dilakukan bagi menutup peluang peniaga yang degil daripada melakukan kenaikan harga secara senyap-senyap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tahun lalu, kementerian me­ngumumkan sebanyak 10 bara­ngan diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 sebagai langkah menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut skim tersebut berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Senarai bara­ngan yang termasuk dalam skim ini ialah kacang tanah, kacang hijau, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kelapa biji, kelapa parut, gula pasir putih bertapis kasar, gula pasir putih bertapis halus dan tepung gandum.

Tambah Mohd. Yusof, Ketua Setiausaha KPDNKK perlu terus menggalas tanggungjawab tersebut berikutan masih belum ada menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui kementerian terbabit.

“Masih belum jelas sama ada kementerian ini akan kekal atau akan digabungkan dengan mana-mana kementerian lain, namun ketua setiausaha kementerian sebelum ini perlu meneruskan dasar yang telah ada untuk membantu rakyat menjelang hari raya nanti,” ujarnya.

NADZIM JOHAN
NADZIM JOHAN

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyarankan agar pihak kementerian menyediakan satu talian khas buat pengguna supaya laporan yang jelas dapat diterima dan dicatatkan.

“Menaikkan harga barangan pada musim perayaan seakan sudah menjadi kelaziman buat peniaga, saya lihat mereka cuba mengambil kesempatan terhadap kesempitan orang lain.

“Dalam hal ini, kerajaan baharu perlu memperkuatkan bahagian penguatkuasaan undang-undang, peniaga-peniaga degil ini perlu ‘disergah’ supaya mereka takut untuk melakukannya berulang kali,” katanya.