Teruskan projek ECRL langkah bijak

Shiekh Ahmad Dusuki Shiekh Mohamad

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Shiekh Ahmad Dusuki Shiekh Mohamad berkata, keputusan itu mampu menjadi agen perubahan kepada ekonomi pantai timur.

Menurutnya, laluan sepanjang 600 kilometer bakal membawa banyak impak sosioekonomi kepada kawasan luar bandar dan bandar yang menjadi persinggahan kepada perkhidmatan tersebut.

“Kelantan antara negeri yang sudah lama dahagakan pembangunan terutama dalam sektor ekonomi yang menyebabkan ramai generasi muda di negeri ini berhijrah mencari pekerjaan ke kota besar khasnya di Kuala Lumpur,” katanya ketika mengulas cadangan kerajaan PH yang mahu meneruskan kembali projek berkenaan.

Ahmad Dusuki, memberitahu, kemudahan ECRL yang dijangka siap pada 2024 kelak bakal mengubah senario itu.

Katanya, peratusan penghijrahan dapat dikurangkan sekaligus mampu merancakkan lagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelbagai sektor pekerjaan termasuk pekerjaan baharu dapat diwujudkan.

“Bukan itu sahaja, projek ECRL ini juga dilihat sebagai solusi tunggal mengelakkan kesesakkan jalan raya yang teruk ke Pantai Timur terutama ketika musim perayaan.

“Tiada lagi pengguna jalan raya yang terpaksa menempuh perjalanan antara 12-14 jam perjalanan. Hal ini melibatkan kos yang tinggi dan sekaligus membebankan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE