Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad (gambar) berkata, program pembangunan seperti sistem perbankan Islam, industri makanan halal dan institusi syariah bukan sahaja memberi kebaikan kepada orang Melayu malah manfaat besar kepada kaum lain.

“Program pemba­ngunan seperti itu perlu diteruskan pada masa hadapan dalam memastikan agenda ekonomi orang Melayu dapat dilaksanakan de­ngan baik.

“Selain itu, program tersebut mampu menjadikan orang Me­layu bukan sahaja jaguh di peringkat tempatan, malah di pe­ringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan resolusi Prakong­res Budaya 2017 bertajuk Bina Budaya Ekonomi Bumiputera yang berlangsung pada 28 Mac lalu.

Hasan berkata, pihaknya telah menggariskan empat resolusi untuk dibawa kepada pengetahuan jawatankuasa kongres budaya untuk dipilih sebagai resolusi akhir yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 April ini.

Jelasnya, empat resolusi tersebut adalah Model Ekonomi Takwa, Amalan-amalan Murni Dalam Ekonomi Takwa, Budaya Kesepakatan dan Integrasi serta Kecekapan Tadbir Urus Dalam Ekonomi.

“Model Ekonomi Takwa itu kami turut pecahkan kepada lima frasa kecil iaitu Buku Revolusi, Mental, Penubuhan Gerakan Budaya Nasional, Khidmat Negara, Azimat TN50 dan Bahasa Me­layu Bahasa Ekonomi,” katanya.