Menerusi cukai dibayar oleh rakyat jelata, kerajaan mampu merencanakan pelbagai program serta pem­bangunan untuk kese­nangan rakyat pada akhirnya.

Namun begitu, sejak awal tahun ini, negara digemparkan dengan pelbagai pendedahan oleh Lembaga Hasil Dalam Ne­geri (LHDN) sendiri mengenai tindakan syarikat korporat gergasi yang dikesan mengelak cukai.

Semalam pula, LHDN mendedahkan 15 syarikat gergasi yang terlibat dengan sektor kewangan, insurans, minyak dan gas dikesan melakukan perancangan cukai agresif (ATP).

Sedangkan rakyat berusaha menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk membayar cukai, syarikat gergasi yang telah mengaut keuntungan berjuta ringgit termasuklah melalui pelaburan di negara luar ini pula bertindak sebaliknya.

Memang bukan semua syarikat gergasi begitu, tetapi akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

Bukankah slogan tadbir urus yang baik atau good governance menjadi rujukan kepada kebanyakan syarikat korporat gergasi di negara ini. Adakah mengelak cukai itu diterjemahkan sebagai good governance?

Di manakah nilai integriti syarikat-syarikat gergasi ini? Tidakkah mereka malu dengan rakyat yang bersungguh membayar cukai bukan hanya disebabkan tanggungjawab tetapi demi memastikan kelangsungan pembangunan negara.

Juste­ru, usaha LHDN untuk terus membu­ru syarikat ini harus di­sokong. Begitu juga dengan operasi untuk mengaudit golongan profesional termasuklah peguam, arkitek serta jurutera yang dikesan tidak mengisytiharkan pendapatan dalam masa terdekat.

Selain syarikat-syarikat gergasi, terdapat juga golongan yang dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menipu tuntutan pulangan balik (refund) melalui penyata cukai barang dan perkhidmatan (GST) sehingga mencecah jutaan ringgit.

Golongan seperti ini tidak boleh dimaafkan kerana bukan sahaja merugikan kerajaan tetapi rakyat secara keseluruhannya apabila sejumlah cukai yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan negara diseleweng untuk kepentingan peribadi.

Sama ada syarikat gergasi yang mengelak cukai atau pihak tertentu yang didapati menipu cukai semata-mata untuk kepentingan mereka, kedua-duanya tidak boleh dimaafkan dan perlu dikenakan tindakan berat sebagai pengajaran.