Ali Hamsa

ALI: Saya berasa bertuah dan bersyukur ke hadrat Allah kerana telah diberi peluang untuk memikul jawatan yang begitu penting di dalam perkhidmatan awam ini. Secara peribadi saya telah melaksanakan tugas ini sebaik mungkin dengan kerjasama dan sokongan semua pihak di mana jentera per­khidmatan awam telah pun diletakkan di landasan yang sepatutnya.

Apakah harapan Tan Sri kepada penggerak-penggerak perkhidmatan awam terutama dalam soal integriti dan keberkesanan penyampaian?

Adalah menjadi harapan saya sejak saya mengambil alih tugas KSN untuk memastikan setiap pegawai dan kakitangan awam sentiasa memberikan fokus kepada mutu dan keberkesanan setiap perkhidmatan yang disampaikan melalui inisiatif merakyatkan perkhidmatan dan budaya turun padang. Ini bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan memenuhi aspirasi dan citarasa rakyat Malaysia supaya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Apakah cadangan Tan Sri terhadap kerajaan dalam usa­ha meningkatkan pres­­tasi dan mutu kerja kerajaan?

Kerajaan perlu peka dan lebih telus terhadap permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh penjawat awam di dalam melaksanakan tugas mereka terutama dari segi kerenah birokrasi dan campur tangan mereka yang berkepentingan. Faktor kebajikan dan suasana tempat kerja yang kondusif serta positif perlu diberikan perhatian demi meningkatkan prestasi dan mutu kerja penjawat awam dan seterusnya menjurus kepada keberhasilan dan faedah yang terbaik kepada kerajaan.

Apakah perancangan Tan Sri selepas ini?

Selepas ini saya mungkin berehat sedikit dan selepas ini saya mungkin terlibat dalam bidang penulisan dengan merencanakan sebuah buku yang menghimpunkan pengalaman saya sebagai pentadbir perkhidmatan awam.

Dalam masa sama, saya juga bersedia untuk memimpin dalam bidang korporat sekiranya diperlukan oleh kerajaan. Saya bersedia menyumbang kepakaran dan berkhidmat kepada negara.

Apakah pesanan yang ingin Tan Sri titipkan kepada penjawat awam?

Hargailah peluang dan ruang yang diberikan kepada kita sebagai penjawat awam untuk terus berbakti tanpa mengira pangkat mahupun kepentingan peribadi atau fahaman politik. Kekalkan keikhlasan dan profesionalisme di dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab kita.