Dr. Mahathir berkata, perkara itu dinyatakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pertemuannya dengan baginda selama satu jam setengah di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

“Saya boleh berkomunikasi dengan dia. Kita bersetuju supaya kita frank (jujur), cakap secara terus terang, tak ada sembunyi-sembunyi.

“Dia bagi dia punya panda­ngan, saya beri saya punya pandangan,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungannya yang tegang dengan Istana Johor sebelum ini dan adakah pertemuan itu membuka dimensi baharu hubungannya dengan Sultan Ibrahim.

Terdahulu Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menghantar Dr. Mahathir dengan menggunakan kereta Proton Saga berusia 34 tahun yang dipandu baginda dari Istana Bukit Serene di sini ke LTAS.

Kereta dengan nombor pendaftaran Proton 1 itu diberi oleh Dr. Mahathir kepada bapa Sultan Ibrahim, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa almarhum menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu Dr. Mahathir berkata, perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Sultan Johor yang merupakan pertama kali selepas 20 tahun tidak bertemu empat mata adalah rahsia antara mereka berdua.

Beliau menyifatkan pertemuannya dengan baginda berjalan dengan baik, selain membincangkan pelbagai perkara termasuk masalah rakyat terhadap Sultan Ibrahim.

“Kita bincang masalah yang kita hadapi dan.... saya cerita berkenaan dengan rakyat terhadap Tuanku dan dia terima baik. Kita bersetuju supaya di masa hadapan takde masalah dan saya boleh berhubung dengan Tuanku,” katanya.

Menjawab soalan adakah pertemuannya hari ini turut membincangkan soal pelantikan Yang Dipertuan Agong yang baharu, Perdana Menteri, per­kara itu tidak ada kena mengena dengan beliau kerana kuasa tersebut adalah di bawah keputusan Majlis Raja-Raja.