Baginda bertitah, dalam usaha menggalakkan pelancong berkunjung ke negeri ini, masyarakat tidak boleh berkompromi dalam usaha menjaga alam sekitar.

“Kita bertuah kerana Pahang memiliki pelbagai khazanah alam yang cukup berharga. Pantai, tanah tinggi, sungai, taman negara dan pelbagai produk pelancongan seperti makanan.

“Pemuliharaan khazanah alam harus dipertingkat dari tahun ke tahun dan diberi keutamaan. Selain itu, usaha mempromosi pelancongan juga boleh melibatkan lebih ramai individu seperti melantik duta dalam kalangan ahli korporat, selebriti dan artis untuk dijadikan ikon,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat mencemar duli pada Malam Penghargaan Tourism Pahang di sini malam ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Pengarah Tourism, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin. - UTUSAN ONLINE