Komitmen itu dinyatakan Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar selepas melihat kejayaan penganjuran empat musim sebelum ini sehingga mampu memberikan jenama baharu kepada universiti itu dalam dunia sastera.

Beliau menjelaskan, walaupun UTM sinonim dengan universiti berasaskan bidang sains dan teknologi, namun keupayaan menterjemahkan sains fiksyen dalam penulisan novel boleh membina minat masyarakat terutama para pelajar dalam kedua-dua bidang itu apabila ia digabungkan dalam bentuk idealistik.

“Kita sangat berbangga setelah empat musim penganjuran ini. Sambutannya sangat baik dan mencapai objektifnya. UTM tidak pernah terfikir pun sebelum ini boleh berkecimpung dalam dunia sastera.

“Pengolahan sains fiksyen dalam bentuk penulisan novel dan kesusasteraan merupakan satu idea baharu kerana bidang sastera kebiasaannya menceritakan mengenai kehidupan masyarakat, namun ia berbeza apabila penceritaan sains teknologi diterjemahkan dengan lenggok kelembutan bahasa sastera yang lebih indah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Wahid berkata, karya-karya novel yang di­cipta dan diangkat menerusi sayembara itu boleh dipromosikan secara lebih meluas untuk menarik minat dan mendedahkan pelajar dan staf akademik UTM sendiri dalam bidang sastera.

Di samping dapat membudayakan sikap membaca, kata beliau, melalui pendekatan itu juga boleh mempromosikan budaya imaginasi bermanfaat demi merangsang minda ter­utama dalam kalangan pelajar peringkat universiti mahu pun sekolah.

“Fakta dan realiti sains dan teknologi selalunya disampaikan terlalu rigid tanpa memahami perasaan dan jiwa seseorang, sedangkan penggunaan bahasa bidang berkenaan boleh digarap dengan jiwa sastera.

“Apabila bidang sains fiksyen digarap melalui bahasa sastera, kita mampu membudayakan kreativiti dan inovasi kerana ia bukan terjemahan fantasi semata-mata tetapi ekspresi idea fakta sains yang relevan untuk 50 tahun akan datang,” katanya.

Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran UTM-Kumpulan Utusan merupakan pertandingan dwitahunan sejak dianjurkan pada tahun 2009 bagi memartabatkan karya-karya fiksyen sains bahasa Melayu sekali gus memajukan dunia sastera negara.