Rata-rata para pengunjung teruja apabila berpeluang mengawal pelepasan dan pendaratan kapal terbang meskipun dalam bentuk simulasi.

Pengarah Pengisian ekspo, Aidi Affendi Kusim berkata, penyediaan simulasi itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kemajuan teknologi tempatan selain memupuk semangat yakin dengan kemampuan negara dalam menempuhi zaman serba moden pada masa akan datang.

“Simulasi ini hampir 90 peratus sama dengan situasi sebenar.

“Kita menggunakan teknologi bertaraf antarabangsa bagi memastikan objektif ekspo tercapai dan memberi kepuasan kepada semua pengunjung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Daniel Mustafa memberitahu, pameran yang disediakan amat menarik dan membuka mata orang ramai dengan keupayaan teknologi yang terdapat dalam negara.

Ahmad Daniel, 36, yang tinggal di Brunei sejak empat tahun lalu berkata, menerusi ekspo sedemikian, dia dapat melihat kemajuan teknologi dan pembangunan infrastruktur di negara ini lebih baik berbanding negara-negara jiran lain.

“Saya mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dan ke­semua mereka membesar di Brunei. Justeru, apabila ada peluang untuk pulang ke tanah air, saya membawa keluarga datang ke sini untuk melihat pameran yang disediakan,” ujarnya.

Katanya, dia gembira apabila kemajuan teknologi tempatan mampu mencapai tahap tinggi dan mahu anak-anaknya berbangga dengan pembangunan di tanah air walaupun mereka membesar di perantauan.

Ekspo Negaraku 2017 sehingga 15 Disember ini menghidangkan pelbagai pameran menarik dan penuh informasi selain memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

Ekspo berkenaan merupakan pame­ran infrastruktur terbesar yang memaparkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam menyediakan kehidupan sempurna dan sejahtera untuk rakyat.