Khairul Anuar Zainal Abidin, 33, dari Permatang Pauh tidak menyangka akan menimang cahayamata hari ini kerana isterinya dijadualkan bersalin pada 20 Januari ini.

Menurutnya, isterinya Nur Shatila Osman, 35, mula mengadu sakit pada 30 Disember lalu sebelum dia membawa isterinya ke KPJ dan selamat bersalin bayi perempuan seberat 2.12 kilogram (kg) pukul 4.57 pagi tadi.

"Saya tak sangka akan terima hadiah berganda hari ini sebab bukan sahaja isteri selamat bersalin anak pertama kami tetapi juga dilahirkan pada tarikh istimewa 1 Januari 2018," katanya.

Perasaan sama dikongsi pasangan Muhamad Hambali Abdul Majid,36, dan isterinya Asmah Kayae, 39, yang turut menimang bayi perempuan seberat 2.82 kg pada pukul 2.27 pagi.

Jelas Muhamad Hambali, isterinya dijadualkan bersalin pada 25 Januari ini namun tidak menyangka anak keempat itu akan menjengah dunia lebih awal, hari ini.

Kelahiran dua bayi tahun baharu itu turut disambut oleh kakitangan Hospital Pakar KPJ yang menyampaikan cenderahati kepada mereka. - UTUSAN ONLINE