Tan Kwok Chai, 37, datang dengan ditemani anak ketiganya, Lum Ke Ying, 10 ke pusat pengundian di Ros di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Chee di sini.

Menurutnya, suaminya tidak dapat menemaninya kerana menjaga dua lagi anak mereka di rumah manakala bayinya masih dirawat di Hospital Seberang Jaya kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

“Saya sepatutnya bersalin pada Jun ini tetapi terpaksa diawalkan secara pembedahan kerana mengalami jangkitan kuman dan bayi saya dilahirkan 1 Mei lalu.

“Atas dasar tanggungjawab dan sayangkan negara, saya gagahkan diri untuk keluar mengundi hari ini biarpun masih sakit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Keadaan Kwok Chai mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan Nor Hafizah Othman yang kebetulan melawat sekolah itu.

Nor Hafizah kemudiannya mengambil peluang untuk menolak Kwok Chai yabg duduk di atas kerusi roda ke saluran mengundi. - UTUSAN ONLINE