Gelojak hati pemuda dari Pulau Pinang itu untuk menaiki tren haji yang dikhususkan kepada jemaah haji negara Asia Barat dan Asia Selatan tersebut semakin menebal apabila ia diuruskan oleh rakyat Malaysia sejak tiga tahun lalu.

Tahun ini, impian Norhilmi yang berhijrah ke Arab Saudi sejak tujuh tahun lalu bersama hampir 100 lagi rakyat Malaysia menjadi kenyataan apabila berpeluang menunaikan ibadah haji menaiki tren tersebut di bawah kuota negara ini.

"Rasa sangat bangga dan terharu melihat Jalur Gemilang pada setiap baju petugas MMMSL.

"Apa yang saya tahu, Raja Arab Saudi sendiri memuji kita (Prasarana) mengendalikan tren haji ini dengan baik sekali," katanya yang bertugas dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Rakannya, Ahmad Nazrin berkata, melihat anak-anak Malaysia bertugas sangat mengujakan.

"Terima kasih Prasarana, terima kasih kerajaan Arab Saudi. Saya rasa ini projek integrasi untuk kita semua," katanya.

Rahimah Abdul Wahid pula bersyukur kerana dapat melaksanakan ibadah haji tahun ini menggunakan kuota negara ini.

"Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan agar ibadah haji kami diterima Allah dan semoga negara kita terus aman sejahtera," katanya.

Prasarana Malaysia Berhad dianugerahkan kontrak mengendalikan operasi tren haji MMMSL selama tiga tahun bermula 2015.

Pada tahun ini, lebih 330,000 jemaah menggunakan tren haji MMMSL untuk melaksanakan rukun dan wajib haji bermula dari wukuf di Arafah, bermabit di Muzdalifah dan melontar di Mina. – UTUSAN