Kehilangan kanak-kanak tersebut pada mulanya disedari oleh guru kelas pada pukul 3.20 petang namun, beranggapan kanak-kanak itu telah diambil oleh ibu bapanya.

Bagaimanapun wanita itu bernasib baik apabila anak lelakinya itu ditemukan di dalam bas yang membawa pelajar tadika berkenaan untuk raptai hari sukan di Bangi, Selangor.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan pada pukul 5.24 petang tadi.

“Pada pukul 4.50 petang, pengadu ke Tadika Si Comel di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjemput anak lelakinya balik namun, anaknya tiada di tadika tersebut.

“Polis dimaklumkan, kanak-kanak itu dibawa oleh pihak tadika ke Bangi kerana terlibat dengan raptai hari sukan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut Rosly, sebanyak 87 orang kanak-kanak telah dibawa ke Padang Agro Bank di Bangi untuk raptai hari sukan dengan menaiki tiga buah bas yang disewa dan diiringi oleh 11 orang guru.

“Hasil temubual juga mendapati guru pengiring ada membuat semakan pelajar sebelum balik semula ke tadika serta membuat pemeriksaan di kawasan raptai dan dapati jumlah pelajar adalah cukup.

“Guru pengiring juga ada membuat semakan jumlah pelajar dalam bas semasa perjalanan balik dan mendapati jumlah pelajar cukup namun, tiada semakan jumlah pelajar yang keluar dari bas dibuat ketika sampai,” katanya.

Menurut Rosly, pada pukul 7.05 malam tadi, pemilik tadika telah menghubungi pemandu bas untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat seorang kanak kanak sedang tidur di kerusi bas.

“Pasukan siasatan telah pergi ke rumah pemandu bas di Cheras, Kuala Lumpur untuk mengambil kanak-kanak tersebut dan telah disahkan kanak kanak yang ada dalam bas merupakan kanak kanak yang hilang,” katanya.-UTUSAN ONLINE