Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri berkata, pembinaan jambatan yang merupakan projek kerajaan Persekutuan itu kini sudah siap 99.5 peratus.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, ketika ini, proses pembinaan jambatan itu berjalan lancar dengan tiang lampu di sepanjang laluan sudah didirikan.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan perkembangan pembinaan Jambatan Batang Sadong. Kerja-kerja pembinaan sudah siap 99.5 peratus dan boleh dibuka kepada orang ramai pada 1 Oktober nanti," katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan di jambatan itu hari ini.

Panjang Jambatan Batang Sadong ialah 1.48 kilometer dan merupakan jambatan terpanjang menyeberangi sungai di Malaysia.

Pembinaan jambatan yang menelan kos RM211.3 juta itu dimulakan pada 5 Julai 2012.

Kemudahan itu yang ditambah pembinaan satu lagi jambatan iaitu Jambatan Samarahan dekat sini, akan menjadi pelengkap kepada laluan dari Kuching ke Muara Tuang-Asajaya-Sadong Jaya-Simunjan dan Sebuyau tanpa perlu menggunakan perkhid­matan feri yang memerlukan pengguna menunggu antara 15 hingga 20 minit.