Penoreh Arau
SALIM AHMAD

Tanpa berselindung dia juga mengakui terpaksa meminjam ah long bagi membeli barangan keperluan sekolah dan kelengkapan hari raya dua anaknya baru-baru ini, disebabkan pendapatan yang diperolehi hasil menoreh getah tidak cukup menampung keperluan hidup.

Selain Salim, nasib sama turut menimpa para penoreh getah lain di kampung berkenaan yang mengakui kehidupan dan pendapatan mereka terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi tersebut.

Salim berkata, kejatuhan harga getah memberi kesan kepada para penoreh di kawasan itu yang hanya mampu memperolehi pendapatan antara RM15 sehingga RM20 sehari, bergantung pada keadaan cuaca.

Katanya, keadaan bertambah teruk sejak kebelakangan ini apabila harga lantai getah terlalu rendah iaitu RM2.25 bagi setiap kilogram (kg).

“Baru-baru ini, saya terpaksa pinjam ah long RM1,000 bagi membeli kelengkapan sekolah dan hari raya dua anak. Saya tiada pilihan lain pada masa itu kerana hasil menoreh getah tidak cukup,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penoreh Arau
ABU SEMAN TAIB

Rakannya, Abu Seman Taib, 41, berkata, nasib penoreh getah akan terbela sekiranya kerajaan prihatin dan menetapkan harga lantai atau minimum bagi getah antara RM3 sehingga RM4.

Dalam masa sama, dia yang lebih 20 tahun menoreh getah berharap, agensi kerajaan yang berkaitan datang ke kampung berkenaan bagi melihat sendiri nasib penoreh getah yang semakin teruk.

“Kerajaan pada hari ini perlulah segera mencari jalan menyelesaikan masalah ini. Tetapkan harga lantai getah RM3 ke RM4, insya-Allah nasib kami akan berubah,” katanya.

Penoreh Arau
KADIN HASSAN

Kadin Hassan, 55, pula berkata, jika dahulu, hasil daripada pendapatan menoreh getah, dia mampu menyara keluarga dan membesarkan lapan orang anaknya.

“Hari ini, dengan pendapatan RM10 sehingga RM15 sehari, hendak membeli makanan pun tidak lepas. Harga getah sekarang terlalu murah berbanding dahulu, di mana saya mampu menjana pendapatan RM50 atau RM60 sehari.

“Disebabkan itu, saya perlu melakukan pelbagai kerja kampung yang lain bagi membantu menampung belanja harian. Saya berharap kerajaan memberi perhatian serius kepada nasib penoreh getah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE