Sumber berkata, suspek yang juga seorang ahli perniagaan berusia 64 tahun itu menerima wang berjumlah RM3 juta menerusi empat transaksi pada tahun lalu.

“Suspek pada mulanya me­minta RM4 juta sebagai habuan bagi menutup kes yang sedang disiasat SPRM. Bagaimanapun, jumlah itu dikurangkan kepada RM3 juta selepas rundingan dilakukan.

“Keyakinan pihak syarikat dengan kemampuan suspek membuatkan mereka memberi wang tersebut sebagai habuan,” katanya di sini hari ini.

Jelas sumber, suspek ditahan di sekitar ibu negara kita-kira pukul 3.30 petang, hari ini.

Selasa lalu, SPRM turut menahan seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun kerana me­nerima wang berjumlah RM19 juta daripada syarikat berkenaan dengan tujuan sama.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan dan berkata, pihaknya masih lagi mengumpul bukti untuk membantu siasatan.

Beliau turut meminta supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan kes tersebut.

Tambahnya, suspek akan di­hadapkan ke mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman esok.

Sementara itu di Pulau ­Pi­nang, seorang pengurus ka­nan syarikat pemaju perumahan di bawah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai kira-kira RM3 juta.

Menurut sumber, lelaki ber­kenaan ditahan SRPM ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini kira-kira pukul 1.25 petang tadi.

Lelaki berkenaan sebelum ini dikesan SPRM susulan penahanan seorang pengarah syarikat konsultan kejuruteraan yang direman lima hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Penahanan kedua-dua lelaki berkenaan berkaitan pemberian beberapa projek kepada syarikat konsultan kejuruteraan itu oleh pekerja syarikat JKP Sdn. Bhd. (JKPSB).

Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa berkomplot untuk mencadangkan syarikat kejuruteraan terbabit sebagai konsultan bagi beberapa projek denggan nilai kira-kira RM3 juta.

Mereka didakwa berkomplot dalam beberapa projek pemba­ngunan perumahan antara 2005 hingga 2016.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 Akta SPRM 2009.