Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ketika ini, negara membelanjakan RM5 bi­lion bagi mengimport bijirin soya dan jagung untuk kegunaan ternakan seperti kambing dan lembu.

Katanya, trend kebergantu­ngan import berada pada tahap membimbangkan kerana melibatkan kos yang tinggi.

“Malaysia gagal menghasilkan makanan ternakan kerana kita tidak mempunyai ilmu dari aspek teknikal dan kepakaran dalam bidang berkenaan. Selain itu, kita kena ambil kira aspek kos efektif seperti tanah, mesin dan buruh, adakah mengimport lebih murah daripada menanam sendiri.

“Jadi bila saya dengar ada seorang pengusaha (warga tempatan) memulakan projek tanaman bijirin jagung di China, saya sifatkan ini sebagai langkah baik. Kami sedia membantu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga sedang memikirkan cara untuk menjadikan jagung sebagai tanaman nombor dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Agropreneur Muda dan Produk Showcase 2016, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron dan Pengurus Besar Plaza Low Yat, Albert Khoo.

Selain itu, Ahmad Shabery turut menegur jabatan-jabatan kerajaan kerana menghidangkan buah-buahan import dalam menu pencuci mulut ketika menganjurkan pelbagai acara kerana tindakan tersebut sedikit-sebanyak memberi kesan kepada penambahan import komoditi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berpendapat tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamed membuat pindaan Perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta kepada undang-undang sebagai satu sentimen untuk memperlihatkan siapa lebih berkuasa pada ketika itu.

Katanya, pada ketika itu bekas Perdana Menteri tersebut mahu menunjukkan beliau yang menguasai arena politik negara mempunyai kuasa eksekutif yang lebih besar daripada Majlis Raja-Raja.

“Beliau telah merosakkan banyak prinsip asas dan roh Perlembagaan, khusus berkaitan kedudukan raja-raja. Saya mengu­capkan terima kasih kepada beliau kerana memohon maaf dan menyesal,” katanya.