Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ini termasuk menerokai teknologi baharu sekali gus menggalakkan lebih ramai usahawan akan terlibat dalam bidang tersebut yang boleh menjamin pendapatan lumayan.

“Kita berharap belanjawan kali ini memberi penekanan terhadap R&D yang membolehkan kita menerokai teknologi baharu bagi membolehkan Malaysia dikenali sebagai negara pertanian moden.

“Malah kita harap dapat menggerakkan semua kumpulan usahawan agar dapat memajukan industri pertanian kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli-ahli Baru Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai harapan belanjawan 2019 yang bakal dibentangkan kali pertama oleh kerajaan Pakatan Harapan esok di Dewan Rakyat. - UTUSAN ONLINE