Jumlah tersebut sebagai tambahan bagi pelaksanaan program Projek Permulaan 5 (EPP 5) iaitu aktiviti penternakan secara integrasi di la­dang-ladang kelapa sawit dengan Espek Livestock Sdn. Bhd. (ELSB) iaitu sebuah syarikat milikan RISDA menjadi salah satu syarikat penerajunya.

Pengerusi ELSB, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus berkata, sehingga kini seluas 15,639 hektar ladang sawit RISDA telah digunakan untuk menternak lembu dan sekiranya geran bantuan diluluskan kerajaan, ELSB bersedia menawarkan tambahan ladang sawit RISDA untuk meneruskan projek tersebut.

“ELSB mempunyai kepakaran dalam bidang penternakan malah masih mempunyai banyak kawasan iaitu ladang-ladang sawit RISDA yang sehingga kini masih belum diisi dengan sebarang aktiviti ternakan.

“Oleh itu, kami memohon kepada kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang menerajui program EPP 5 untuk meluluskan geran bantuan tersebut kepada ELSB. Sebagai syarikat peneraju, kami telah membuktikan kepada kerajaan bahawa projek ini telah berjaya dan mampu kami laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pe­nyampaian CSR Program EPP 5 dan Pelancaran Blok Mineral Richmin Espek Livestock Sdn. Bhd. di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Dalam pada itu, tambah Mohammad Anuar, menerusi projek EPP 5 tersebut, ELSB menerima 30 ekor lembu jantan dan 600 ekor lembu betina pada tahun 2012 serta memperoleh 65 ekor lembu jantan dan 1,624 ekor lembu betina yang di­ternak di ladang-ladang RISDA di negeri Perak dan Negeri Sembilan bagi tempoh 2013 hingga 2020 dengan geran peruntukan sebanyak RM6.48 juta.

“Keseluruhan lembu yang dite­rima di bawah program ini adalah sebanyak 2,319 ekor dan perolehannya telahpun dilaksanakan dan berakhir pada Julai lalu.

“Jika kerajaan mahu memberi kepercayaan kepada ELSB untuk meneruskan projek ini, kami sudah bersedia untuk melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, se­bagai tanda komitmen di atas pelaksanaan tanggungjawab sosi­al korporat (CSR), ELSB turut berbesar hati menyerahkan 90 ekor lembu kepada sembilan penternak dari daerah Manjung dan Batang Padang, Perak dengan ni­lai keseluruhan RM258,300.

“Melalui perjanjian yang telah ditandatangani di antara ELSB dan Jabatan Perkhidmatan Vete­rinar, kami dikehendaki menye­rahkan kembali 20 peratus anak lembu daripada bilangan induk yang diterima sebelum ini sebagai CSR kepada penternak-penternak tempatan yang terpilih.

“Sebanyak 440 ekor lembu akan dipulangkan kembali kepada 44 orang penternak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.262 juta. Ini juga membawa maksud 10 ekor lembu akan diserahkan kembali kepada setiap penternak dan majlis hari ini merupakan fasa pertama dan bakal disusuli de­ngan fasa berikutnya sehingga selesai pada tahun 2020,” katanya.

Pada majlis tersebut juga, ELSB turut melancarkan blok mineral baharu jenama Rishmin untuk kegunaan penternak-penternak di negara ini.

Jelas Mohammad Anuar, Richmin adalah penjenamaan semula Espek Mineral Block atau EMB yang dikeluarkan oleh ELSB sejak tahun 2006.

“Produk ini diformulasi khas bagi mengatasi masalah kekura­ngan mineral di samping me­ningkatkan produktiviti pelbagai ternakan seperti lembu, kambing, kerbau, unta dan rusa.

“ELSB mengharapkan agar Richmin yang kualitinya setan­ding dengan produk import malah dijual dengan harga yang kompetetif dapat dimanfaatkan oleh penternak di negara ini,” katanya.