Seperti mana dia dikagumi melalui karektor baik di layar perak, sisi peribadinya menjadikan Kajol kekal selama lebih dua dekad menjadi ‘idola hidup’ kepada kaum wanita di seluruh dunia. Untuk tahu apa itu cantik dan berperibadi baik sebagai seorang wanita, banyak yang menjadikan isteri kepada Ajay Devgan ini sebagai sumber rujukan.

Khamis lalu, pentas kecil berhadapan Jalan Masjid India gegak gempita. Mentari petang yang masih menyala sepertinya tidak langsung terasa. Sekalipun peluh laju merecik ke seluruh wajah, apalah sangat. Ia tidak lebih sekadar satu pengorbanan kecil sang peminat untuk bertemu idolanya. Sedari pukul 4 petang lagi, orang ramai membanjiri jalanan tersebut meskipun diberitahu majlis hanya bermula pada pukul 8.30 malam.

Melangkah dengan gaya sederhana, kuasa senyuman yang manis bak gula-gula kapas, itu juga ‘sihir’ si jelita ini yang seterusnya mengundang jerit pekik tidak bertepi peminat pelbagai bangsa, Melayu, India dan juga Cina. Hampir histeria juga peminat yang menanti.

Ketika dia melambai-lambaikan tangannya pada saat awal kemunculan, banyak mengandaikan kemunculan kali ini Kajol memilih untuk lebih relaks, bersahaja dan menjadi lebih ramah. Berbanding kemunculan pertama di Malaysia tiga tahun lalu yang agak bergegas dan dilihat sungguh kurang mesra, kali ini lain benar energi yang terpancar.

Pun begitu dia tidak muncul sebagai Anjali atau apa sahaja sekian watak yang membekas di jiwa peminat. Sebaliknya dia hanya menjadi Kajol yang sebenar. Menebarkan senyuman yang paling manis seikhlasnya, persalinan sari warna biru ‘royal’, nah, manis sekali.

Justeru dalam kesederhanaan di depan mata peminat yang dapat melihat sendiri di depan mata mereka, dia tetap semanis Anjali, semurni jiwa Simran dan barangkali juga setulus kasih Keshmini.

“Selamat Petang!” katanya dalam bahasa Malaysia dan apa lagi gema sorakan kembali meliar. Meski hanya dalam dua patah, ia adalah rasa kebersamaan yang menyumbang kepada rasa bangga di dada peminat Kajol di sini.

Dia kemudian berucap dalam bahasa Inggeris yang jika diterjemahkan lebih kurang bermaksud : “Terlalu banyak cinta dan kasih sayang di sini. Saya dapat saksikan kalian. Saya dapat rasakannya. Saya dapat merasakan bagaimana cinta kalian terhadap filem-filem saya,” katanya lagi dalam ucapan secara terbuka itu.

Kajol hadir bagi mempromosikan filem Tamil, Velaiilla Pattadhari 2 (VIP2) yang dijangka tayangannya di Malaysia pada awal Ogos ini.

Syarikat pengedar filem terbabit di negara ini, Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer menerbangkan artis itu ke sini.

Terakhir muncul di dalam filem Tamil adalah sekitar 20 tahun lalu melalui Minsara Kanavu, karya ini dilihat sebagai persembahan terbaharu dirinya untuk terus kekal pada tampuk populariti.

Kajol yang hadir bersama superstar filem Tamil, Dhanush dan pengarah Soundarya Rajnikanth memberitahu, dia tidak memilih untuk berlakon di luar filem Hindustan kerana enggan memberikan lebih masa kepada penghayatan dialog. Itu adalah satu-satunya sebab kenapa dia mengambil masa yang terlalu lama untuk muncul dalam filem Tamil terbaharu itu.

“Saya tidak menolak jika ada tawaran itu. Bagaimanapun saya hanya akan terlibat dalam karya yang mempunyai skrip yang baik dan memenuhi kehendak saya sepanjang menjadi pelakon,” katanya menjawab soalan media apakah bersedia andai ditawarkan produser Malaysia berlakon di sini pada masa depan.

Berkahwin dengan Ajay Devgan pada 1999, ibu kepada dua anak ini bersikap lebih memilih dalam berkarya selepas ahli keluarganya semakin membesar.