Seorang juri kategori pui­si, Dr. Shamsudin Othman berkata, keindahan sesebuah puisi terletak pada kekuatan pemikiran pengkarya menerusi kaedah pe­nyampaian isu yang diterjemahkan dalam sesebuah puisi.

“Bagi memenuhi kriteria puisi terbaik adalah dengan mengambil kira aspek gaya bahasa yang tinggi selain mahu melihat hasil karya dapat menyumbangkan kepada isu negara, dibawa secara serius dan berfokus serta sumbangannya kepada dunia ketamadunan bangsa dan negara.

“Mengambil contoh hasil karya puisi yang dihasilkan peserta sebelum ini dengan mengetengahkan isu pepe­rangan, kemiskinan dan sebagainya menjadi daya penarik dalam sesebuah puisi, namun perlu diterjemah menggunakan gaya bahasa yang tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

HSKU yang merupakan sa­yembara sastera di Malaysia dan dianjurkan oleh Kumpulan Utusan akan diadakan di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana di sini.

Shamsudin yang juga Pensyarah Ka­nan Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi­tahu, cabaran barisan panel hakim dalam menentukan keutuhan sesebuah puisi dilihat bersandarkan kepada kaedah memanipulasikan ba­hasa kepada halus pemikiran.

“Kita tidak meletakkan sebarang tema dalam pertan­dingan ini dan peserta bebas untuk mengambil apa-apa isu yang dirasakan sesuai.

“Konsep keterbukaan ini juga secara tidak langsung membuka peluang kepada pengkarya untuk menterjemahkan daya fikir dan isu semasa menerusi deklamasi puisi,” ujarnya.