Bekas Perdana Menteri itu malah berkata, sudah ada langkah yang telah dimulakan untuk membatalkan debat tersebut.

“Sudah tengok ada langkah-langkah yang sudah dimulakan untuk batal debat ini. Mereka meluahkan kebimbangan Kit Siang mungkin tersungkur kalah dalam debat ini,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Kit Siang mengumumkan menarik diri daripada berdebat dengan Ahli Parlimen Pekan itu atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyatakan, sejak beliau mencabar Najib berdebat atas tajuk ‘Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti’ yang kemudian disahut bekas Presiden UMNO itu, ramai yang menasihatinya tentang program yang mahu diadakan antaranya, penganjuran debat itu akan digunakan Najib untuk menaikkan semula popularitinya selain menjadi medan yang berisiko membangkitkan sentimen perkauman.

Mengulas lanjut, Najib berkata, ada pihak juga bimbang bahawa beliau akan mengeluarkan fakta yang sukar untuk Kit Siang tangkis dan banyak propaganda PH akan dibuktikan sebagai pembohongan dan fitnah.

“Tetapi, PH sepatutnya menaruh sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada Kit Siang kerana dia sudah menjadi bos DAP lebih dari 50 tahun.

“PH juga perlu tahu tidak ada seorang pun dipaksa untuk menonton debat ini dan debat ini tidak akan menggunakan sebarang wang rakyat.

“Dalam semangat demokrasi dan ketelusan, biarlah debat ini diteruskan dengan tajuk yang dicadangkan oleh DAP dan sudah pun dipersetujui oleh saya,” katanya. - UTUSAN ONLINE