ABDUL HALIM TAWIL

Mufti kerajaan negeri, Datuk Abdul Halim Tawil yang menyatakan perkara tersebut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah berjaya membentuk kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Dengan harapan yang besar kerajaan negeri dapat menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat untuk mengurus, mentadbir de­ngan lebih cekap, telus serta berintegriti ke arah kesejahteraan rakyat.

“Kita juga berharap agar kedaulatan Islam dan umat Islam terbela berdasarkan ‘maqasid sya­riyyah’, menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Lantaran itu, menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk memberikan kepercayaan dan ketaatan kepada ulil amri (pemerintah) yang dipilih oleh majoriti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani.

Sementara itu, Abdul Halim berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan yang diberikan Ketua Menteri, Adly Zahari berhubung isu yang tular dalam laman sosial mengaitkan dirinya sebagai pengikut Syiah.

Beliau memberitahu, penjelasan yang diberikan berkaitan gambar yang ditularkan adalah gambar yang diambil semasa Adly berada di Iraq ketika mengadakan sesi lawatan ke beberapa buah negara Asia Barat beberapa tahun lalu.

Menurutnya, kutipan kata hikmah yang dinukilkan dalam laman sosial adalah kata-kata yang mempunyai mesej dan makna yang baik untuk dijadikan sebagai motivasi bagi dikongsikan.

“Beliau (Adly) menegaskan bahawa beliau dididik dan dibesarkan serta amalan serta pegangan beliau adalah berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan kepada al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

“Beliau berpegang prinsip aqidah al-Asyairiyah dan al-Mathuridiyyah, fiqh Syafi’eyah dan tasawuf akhlak imam Al-Ghazali,” ujarnya.

Semalam, Adly telah menyatakan statusnya yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah serta berharap supaya isu tersebut tidak akan dibangkitkan lagi pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Abdul Halim menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara di media sosial dan elektronik atau pengucapan awam agar apa yang disampaikan tidak menimbulkan kontroversi serta menjadi polemik masyarakat.