AZMAN IBRAHIM

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, menteri itu belum mempunyai sebarang sentuhan dengan masyarakat desa yang bergantung hidup kepada sumber tersebut.

Sehubungan itu, Azman mengesyorkan Teresa agar ‘merendah diri’ untuk turun padang ke kawasan penoreh getah bagi meninjau kesempitan hidup kelompok berkenaan sekali gus berhenti bercakap dalam fantasi.

“Sekiranya tiada tempat yang hendak dituju, saya sedia menawarkan kawasan Dewan Undangan Negeri Jabi sebagai tuan rumah bagi lawatan menteri.

“Masih ada dalam kalangan penoreh yang terkial-kial untuk meneruskan kehidupan bagi mendapatkan keperluan asas. Saya kenal ramai di antaranya yang tidak mampu membeli sekampit beras sebaliknya dibeli secara kilogram.

“Jika menteri hendak tunggu harga getah RM2.20 umpama­nya, mereka tunggu rakyat sudah berlapar baharu nak beri bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas kenyataan Teresa semalam bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bercadang menetapkan harga lantai getah sekerap.

Menurut Teresa, ini kerana langkah sedemikian bakal membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi dengan peruntukan tambahan RM2.5 bilion setahun jika harga lantai getah sekerap ditetapkan kepada RM4 sekilogram berdasarkan pengeluaran 2017.

Azman sebelum ini menyifatkan peruntukan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak RM50 juta seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guang Eng semasa pembentangan Belanjawan 2019 tidak menjurus manfaat kepada pekebun kecil.

Dalam pada itu, Azman menyifatkan Menteri Industri Utama tersebut tidak faham dan keliru tentang isu berkenaan dan sebagai peneraju di kementerian terbabit, Teresa sepatutnya memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi membela nasib mereka dan bukan sekadar memberikan pandangan seolah-olah mahu lepas tangan.

“Kerajaan perlu memikirkan mekanisme. Saya bersimpati dengan menteri yang merupakan anak kota sebab beliau terlalu canggung untuk menjaga portfolio ini bahkan tidak tahu jerih perih peneroka ketika harga komoditi terus susut manakala barangan berasaskan getah kian melonjak,” katanya.