Usaha yang dirintis melalui Pejabat Agama Daerah ini bersama Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia (Rimba) melibatkan 20 orang pegawai da'i dari empat daerah dan mualim.

Mereka termasuk empat wanita dan juga kalangan dari institusi pengajian tinggi telah menjalani program latihan yng diadakan di Tasik Kenyir bulan lalu.

Koordinator Program Kesedaran Rimba, Akmal Arif Mohd. Razali memberitahu, latihan bertujuan mengukuhkan kefahaman peserta terhadap fatwa larangan memburu hidupan liar.

"Di samping menerapkan ilmu-ilmu asas pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar dari sudut Islam, biologi dan perundangan," ujarnya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Langkah itu juga katanya, ke arah memperkasakan peranan mereka dengan penyampaian lebih berkesan dalam menyebarkan kesedaran masyarakat di akar umbi tentang kepentingan menjaga alam sekitar termasuk hidupan liar.

"Mereka boleh berhubung terus dengan masyarakat masyarakat melalui siri tazkirah dan ceramah di masjid, surau dan majlis dengan kemudahan multimedia yang disediakan untuk membantu," ujarnya.

Semalam mereka menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Turut hadir, pegawai agama daerah, Shukri Faiz Jusoh.

Beliau menarik perhatian, beberapa spesies seperti harimau berdepan dengan ancaman kepupusan yang cukup serius apabila kini dianggarkan hanya purata satu ekor bagi setiap 400 kilometer persegi.

Sementara itu, Ghazali dalam ucapannya berkata, Terengganu merupakan negeri pertama mengeluarkan fatwa bagi melindungi haiwan liar dan mengambil inisiatif membimbing da'i konservasi.

"Langkah ini wajar dikuti oleh negeri-negeri lain atau satu langkah perundangan menyeluruh boleh dilakukan," ujarnya merujuk kepada usaha menjaga biodiversiti negara dengan lebih berkesan.

Katanya, binatang buas seperi harimau, badak dan gajah bukan ancaman kepada manusia sebenarnya tetapi manusia yang menceroboh masuk ke dalam habitat asal mereka kerana haloba. - UTUSAN ONLINE