Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak yakin sasaran sepanjang lima tahun itu mampu dicapai menerusi pelbagai kempen kesedaran dan bimbingan termasuk program Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok (mQuit) Masjid.

Katanya, mQuit Masjid yang baharu diperkenalkan bertujuan membantu pegawai, ahli jawatankuasa dan ahli kariah masjid yang mempunyai masalah merokok untuk meninggalkan amalan itu dan menjadi model contoh  kepada masyarakat Islam lain.

"Seperti kita maklum, masjid telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 justeru, sebarang aktiviti keagamaan yang dijalankan di masjid adalah bebas asap rokok.

"InsyaAllah dengan cara ini kita boleh menurunkan kadar perokok kepada 15 peratus," katanya selepas melancarkan Program mQuit Masjid di Masjid Abidin, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar; Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Mohd. Jusoh; Timbalan Pesuruhajaya Agama negeri, Azam Awi dan Imam Besar negeri, Aizi Saidi Abd. Aziz.

Sehubungan itu Alias mengajak seluruh jawatankuasa masjid agar memainkan peranan sebagai penasihat atau memberi teguran kepada jemaah yang merokok di samping mempelbagaikan sesi tazkirah, kuliah mahupun kelas dengan menyelitkan mesej tentang bahaya merokok.

Dalam pada itu, katanya, mQuit berjaya membantu seramai 203 perokok di negeri ini untuk meninggalkan tabiat yang memberi risiko besar kepada kesihatan, sepanjang tahun lalu.

"Mereka merupakan 36.5 peratus daripada 556 individu yang secara sukarela mendaftar bagi mengikuti program  itu di klinik-klinik  kesihatan di negeri ini.

"Jabatan Kesihatan negeri turut menyediakan perkhidmatan berhenti merokok khusus untuk anggotanya dengan seramai 691 orang telah mendaftar mQuit daripada keseluruhan 830 yang merokok," katanya. - UTUSAN ONLINE