Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sasaran itu lebih realistik berbanding 20 peratus tahun lalu, bersesuaian dengan keupayaan murid berikutan peperiksaan yang menggunakan format baharu, di samping pertambahan satu lagi mata pelajaran.

"Sekarang ini (berdasar peperiksaan percubaan) Terengganu baharu mencapai empat peratus dan keadaan ini adalah biasa kerana soalan-soalan dalam peperiksaan percubaan adalah lebih susah berbanding UPSR sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Motivasi Perdana UPSR 2017 peringkat daerah Kuala Nerus di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail,  Telaga Batin di sini hari ini.

 Yang hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah, Che Soh Muda dan penceramah motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Kira-kira 700 murid dari 37 sekolah di daerah ini mengikuti program itu.
.
Menurut Ahmad Razif, sebagai suatu rangsangan, kerajaan negeri akan meneruskan tradisi pemberian insentif terhadap calon UPSR dan peperiksaan awam lain yang berjaya mencapai kecemerlangan.

 Dalam perkembangan sama, beliau meluluskan sumbangan RM37,000 bagi diagihkan ke semua 37 sekolah rendah di daerah Kuala Nerus bagi tujuan penyediaan makanan percuma semasa UPSR berlangsung mulai 11 hingga 14 September depan.-UTUSAN ONLINE