Menurut Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim, hasil pertemuan beliau dengan beberapa wakil jabatan berkenaan di sini hari ini memperlihatkan kesediaan sekolah-sekolah menengah di negeri ini untuk turut serta.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada JPNT atas komitmen tersebut untuk sama-sama menjayakan pertandingan video pendek itu dalam usaha menye­mai serta memupuk semangat muhibah antara kaum.

“Kami ucapkan terima kasih atas kesediaan pihak JPNT yang bersedia sahut cabaran ini (sertai pertandingan video pendek #muhibah). Kita juga sedia terima segala pandangan untuk penambahbaikan pertandingan ini,” katanya.

Wahid menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas me­ngadakan kunjungan dan perbincangan dengan wakil JPNT yang diketuai Ketua Sektor, Sektor Pengurusan, Pembangunan, Ke­ma­nusiaan, Ngah Bidin di jabatan berkenaan di sini hari ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung lebih dua jam bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu, turut hadir ialah Pengarang Berita Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Borhan Abu Samah serta Ketua Pemasaran Wilayah Timur Utusan Melayu, Ahmad Faizi Amzah.

Selain itu, Wahid berkata, pihaknya juga menyambut baik beberapa pandangan daripada JPNT termasuk saranan agar salinan video penyertaan perlu juga dihantar untuk perhatian JPNT selain dikemukakan kepada Utusan Malaysia sebelum diadili.